Monday, September 20, 2010

MEDIA DAN JENAYAH

Di dalam konteks media itu sendiri kita telah sedia maklum bahawa peranan media adalah sangat besar dalam menyalurkan maklumat bermutu serta terkini sebagai informasi sama ada sebagai ilmu pengetahuan atau tambahan data agar minda masyarakat dapat dibentuk dengan cemerlang dan bertamadun melayari kehidupan duniawi pada hari ini. Pembangunan modenisasi yang berkembang pesat sejajar dengan objektif yang ingin dicapai oleh setiap Perdana Menteri Malaysia dari yang pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj hinggala yang terkini Datuk Seri Najib Tun Razak. Setiap pucuk pimpinan kita mempunyai visi dan misi yang ingin digarap sekaligus dicapai dengan jayanya diiring dengan bantuan dan sokongan rakyat. Secara realitinya, tanpa semangat patriotisme yang ditonjolkan oleh rakyat, negara Malaysia yang maju dan terkenal dengan semangat perpaduan berbilang bangsa dan perbezaan agama ini tidak akan mampu mendirikan sebuah negara yang bukan sahaja inovatif, berdaya saing, tetapi melahirkan golongan muda-mudi sebagai penggerak masa depan yang lebih cemerlang di masa akan datang. Ternyata, ia bukan hanya datang dari bangsa Melayu tetapi turut sama secara berkumpulan dengan bangsa lain seperti Cina, India, Sabah dan Sarawak.

Walaubagaimana pun, sejauh mana kejayaan dan kemajuan yang dibawakan pasti media turut berperanan dan bertanggungjawab ke atasnya. Mungkin ramai sahaja yang berpendapat iaitu media mampu mempengaruhi sikap dan tingkah laku seseorang individu kearah kebaikan atau kejahatan. Adakah ia benar? Persoalan inilah yang akan kita rungkaikan. Barangkali, masih ramai yang tidak tahu bahawa melalui media setiap inci maklumat sehingga sekecil zarah sekali pun kita boleh perolehi dengan hanya “bersahabat” bersama media. Terdapat pelbagai jenis media yang telah dicipta sejak dari zaman dahulu lagi. Kepintaran manusia yang kadang kala tidak terjangka telah berjaya merubah media kepada sebuah alat yang lebih canggih dan berteknologi tinggi setanding dengan negara internasional. Ini membuktikan Negara kita setanding di seantaro dunia.

Jenayah merupakan satu perbuatan yang terang-terangan menyalahi undang-undang sesebuah Negara itu. Setiap perlakuan jenayah itu telah ditetapkan hukuman yang diambil kira keadilannya dari pelbagai sudut. Jenayah mungkin berlaku sama ada berniat atau tanpa niat. Apa pun, pelaku kepada jenayah tetap di gelar sebagai penjenayah. Hari ini masyarakat kita sering kali dikejutkan dengan pelbagai kes jenayah yang melibatkan pelajar dan remaja. Ini menggambarkan bahawa terdapat punca dan penyebab kepada peningkatan yang membimbangkan ini. Jika tidak disegerakan mencari jalan penyelesaiannya maka perkara yang lebih buruk mungkin akan membendung Negara yang berdaulat ini.

Peningkatan kadar jenayah merupakan penanda aras kepada kepincangan dalam hubungan sosial masyarakat. Kelompok-kelompok dalam masyarakat gagal untuk memainkan peranan secara berkesan. Siapakah kelompok-kelompok yang dimaksudkan? Antaranya keluarga, sekolah, masyarakat sekeliling, media, agensi penguatkuasaan, gaya hidup dan gaya kepimpinan pemimpin Negara. Setiap satunya berperanan besar terhadap kawalan jenayah yang dilakukan terutama kepada golongan pelajar dan remaja. Jika hanya mahu menyalahkan media yang menyiarkan rancangan yang berbaur keganasan dari mengajak kepada arus kebaikan juga tidak boleh. Ini kerana, setiap kelompok yang dinyatakan tadi harus sama memainkan tanggungjawab masing-masing agar gejala jenayah tidak seperti yang diperlihatkan oleh media sekarang.

Justeru, adakah pendedahan kepada keganasan di media mengakibatkan peningkatan keganasan di kalangan remaja? Soalan itu agak menarik dalam konteks masyarakat kita sekarang yang sedang bercakap mengenai pembunuhan Dato’ Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain. Pelakunya seorang remaja India berusia 19 tahun. Apakah yang mendorong remaja itu sehingga sanggup melakukan jenayah yang terkutuk dan tidak berperikemanusiaa. Melakukan jenayah bukanlah sesuatu yang mudah malahan merumitkan kerana memerlukan perancangan yang sistematik dan licik. Dari mana agaknya idea-idea melakukan pembunuhan seperti itu diperolehi. Saya tidak boleh mengatakan secara rambang tanpa sebarang kajian. Oleh itu, dibawah ini saya sisipkan informasi hasil dari kajian yang berbeza pengkajinya.

Menurut kajian yang telah dilakukan oleh Prof L. Rowell Huesmann dari University of Michigan selama 50 tahun itu membuktikan bahawa pendedahan media terhadap jenayah penyebab kanak-kanak atau remaja bertindak dan bertingkah laku lebih agresif dan pada masa yang sama memberi kesan apabila mereka dewasa kelak.

Menurut kata pengkaji L. Rowell Huesmann lagi, kanak-kanak atau remaja yang bertindak agresif ini adalah mereka yang menonton rancangan televisyen berunsur jenayah pada setiap masa, percaya bahawa apa yang diperlihatkan di kaca televisyen adalah sama seperti dalam kehidupan sebenar dan keinginan mengenal pasti karakter yang agresif dalam sesuatu program atau cerita. Kajian yang dilakukan oleh Kaiser Family Foundation pada tahun 2003 pula mendapati hampir separuh iaitu 47% ibu bapa yang mempunyai anak di antara 4 hingga 6 tahun melaporkan bahawa anak-anak mereka meniru kelakuan agresif daripada televisyen.

Melihat kepada kajian-kajian yang saya perolehi ini, saya berpandangan bahawa elok sekiranya Kementerian Penerangan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mengkaji semula siaran televisyen sama ada berbayar atau tidak sekiranya kita bersungguh-sungguh ingin mengurangkan bilangan jenayah di negara ini. Apa yang penting sekarang ialah membanteras jenayah pada peringkat akar umbi. Golongan yang harus diberikan perhatian ialah remaja, dan usaha ini mungkin boleh bermula dengan mengambil tindakan kepada media yang menampilkan keganasan secara berlebihan. Kata orang tua-tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya!

Kesan siaran yang dibawakan media dapat dilihat apabila ada yang berlumba selepas menonton siaran perlumbaan kerana keasyikkan dan seronokkan yang pertonjolkan dalam perlumbaan, ada yang ikut stail pelakon selepas menonton kononnya nampak cantik dan tidak mahu ketinggalan zaman, ada yang ikut corak kebebasan yang di tonjolkan dalam lakonan, dan bermacam-macam lagi. .Ada yang terpengaruh!Ada yang mempengaruhi!

Negara luar seperti Republik Singapura mungkin boleh memberikan contoh tauladan di mana rangkaian televisyen mereka tidak menyiarkan rancangan “Gusti” bagi membentuk masyrakat yang berdisiplin dan tidak melakukan keganasan. Tetapi pada saya, tidak perlu lihat Negara luar juga tidak mengapa kerana kita sendiri boleh berfikir dengan waras apa yang patut dan tidak patut dilakukan di dalam sesebuah institusi masyarakat dan Negara. Setiap perlakuan itu adalah tanggungjawab diri masing-masing samping dipantau oleh kelompok-kelompok yang telah dinyatakan seperti di atas.

Keseluruhannya, kita hanya mengambil tindakan apabila berlaku sesuatu perkara tetapi gagal untuk menyekat punca masalah Jawapan yang tepat ialah kembali kepada Fitrah – Al Islam ya’ lu wala yu’ la alaihi.

No comments:

Post a Comment