Monday, September 27, 2010

Interview Bersama Sharifah Abu Salem (EKSKLUSIF)

ini adalah antara tugasan yang diberikan dalam subjek "feature writing" ang diikuti saya. tugasan yang perlu dilaksanakan adalah perlu menemubual novelis terkenal tanah air dan tuliskan laporannya. ini lah yg saya perolehi:


Sharifah Abu Salem bukan nama asing lagi dalam dunia penulisan. Selain dikenali menerusi tulisan novel, beliau juga dikenali melalui penulisan skrip, rencana dan juga bahan-bahan berita. Dunia penulisan novel,skrip drama tv & Radio dan kewartawanan menjadikan beliau terus kukuh dalam persada penulisan tanah air.
Sharifah Abu Salem sememangnya seorang novelis yang mantap dalam menggarap jalan cerita. Perjalanan babak cerita beliau pantas dan tidak meleret, Garapan beliau yang matang dan mantap merupakan kekuatan setiap novelnya. Gaya penceritaannya juga konsisten, satu elemen yang kurang terdapat pada gaya penulisan penulis-penulis muda yang masih bercelaru dan tidak mengikut urutan logik. Penceritaan beliau sangat lancar..
Baca sahaja novel tulisan beliau, pasti pembaca akan dibuai keasyikan gaya penulisan yang bersahaja, mudah difahami dan kreatif tetapi dekat dihati pembaca.
Masihkah Ada Kasih merupakan novel sulungnya bersama Alaf 21 yang melonjakkan nama beliau dalam dunia penulisan sastera popular. Semasa saya berjumpa dengan beliau ternyata kemesraannya menambat hati sesiapa yang mengenali beliau. Mari ikuti sesi temu bual bersama novelis terkenal kita iaitu Sharifah Abu Salem.

1) S: Minat yang mendalam di dalam penulisan telah menjadikan anda seorang yang terkenal di dalam bidang penulisan. Anda mengikut jejak langkah siapa di dalam keluarga?
J: Minat saya dalam penulisan sememangnya sudah menular sejak kecil lagi. Di usia seawal enam tahun saya sudah pandai membaca dan di usia tujuh tahun saya telah membaca buku novel. Bapa saya merupakan individu yang telah menyebabkan saya menyukai bidang penulisan ini. Bapa merupakan bekas penulis buku-buku agama dan seorang penceramah agama. Setiap kali bapa melakukan kerja-kerja penulisannya dengan menggunakan “type writer” yang mana zaman dahulu tidak wujud lagi komputer atau “laptop”, saya suka melihat bapa melakukan kerjanya tambah-tambah lagi jika buku-buku yang dihasilkannya telah siap dan perasaan saya akan menjadi teruja. Saya juga suka bertanya kepada bapa dengan apa yang dia lakukan. Bapa juga telah membelikan saya sebuah “type writer” untuk saya gunakan. Ibu pula lebih suka menyuruh saya melukis kerana tiap kali saya menggunakan “type writer” bunyinya bising dan membuatkan ibu saya tidak suka berbanding melukis yang tidak mengeluarkan bunyi bising.
Selain saya yang mengikuti jejak langkah bapa, kakak juga turut sama meminati bidang penulisan. Sebenarnya, kakak saya telah mula menghantar hasil penulisan skrip drama radionya dan dia mendapat duit hasil dari menghantar skrip drama itu. Kemudian, kakak menyuruh saya mencuba pula supaya tidak perlu menyusahkan keluarga kerana boleh membuat hasil pendapatan sendiri. Bermula umur 13 ke 14 tahun, saya telah mula menghantar skrip drama radio dan menghantarnya ke majalah kanak-kanak, majalah SALINA, dan lain-lain lagi.

2) S: Anda dikenali sebagai seorang penulis novel pada asalnya, tetapi kini semakin dikenali sebagai seorang penulis skrip melalui drama-drama popular di tv 3 kerana hasil penulisan anda. Apakah perbezaan dari segi penulisan novel dan penulisan di dalam skrip?
J: Tidak banyak perbezaan dari segi penulisan novel dan skrip. Dari sudut “teknik” sememangnya terdapat perbezaan. Semasa mula-mula menyertai bidang penulisan ini, saya tidak tahu apa itu istilah, kesan, corak gaya bahasanya dan yang seumpama dengannya. Segala-galanya tidak tahu. Tetapi kita sentiasa mempunyai peluang untuk belajar. Jadi gunakanlah peluang yang ada ini dengan sebaiknya. Seperti drama, cerita harus dipindahkan ke dalam bentuk visual dan aksinya juga harus di masukkan ke dalam skrip. Dialognya juga tidak mengikut bulat-bulat. Berbeza dengan novel di mana setiap inci cerita harus di tulis kesemuanya ke dalam novel. Maka di sini, apa yang ingin saya katakan novel harus di lebihkan mengikut dari segala aspek.

3) S: Bagaimanakah anda memperoleh inspirasi semasa berkarya kerana saya melihat gaya penulisan anda mantap dan mempunyai elemen yang matang serta sentiasa mempunyai idea yang berkembang dan lain dari yang lain walaupun isu yang dibawakan tetap berunsurkan kekeluargaan dan kemanusiaan?
J: Bagi saya, idea adalah pemberian istimewa dari ALLAH. Sebagai penulis pula, idea yang baik itu harus dikembangkan untuk menjadi sebuah karya yang diterima pembaca dan ada manfaatnya. Mengembangkan idea untuk dijadikan cerita, memerlukan kita membuat kajian, mengumpul sebanyak mungkin maklumat, mencipta watak dan konflik. Tidak terkecuali memastikan gaya penulisan yang juga menarik. Penulis harus menghayati setiap cerita dan watak yang akan dipersembahkan dalam novelnya. Mereka mesti sama-sama menyelami keseluruhan cerita dan berada di antara watak-watak tersebut. Pada awal saya menjadi penulis, saya masih belum mempunyai ilmu yang banyak di dalam bidang penulisan dan saya bergantung kepada bakat semata-mata. Anda perlu ada bakat dalam bidang penulisan dan mempunyai kreativiti yang tinggi untuk menjadi seorang penulis. Membaca merupakan salah satu cara untuk meningkatkan kreativiti, mendapatkan idea dan membantu memahirkan penggunaan bahasa.Di samping itu, anda juga mesti peka dengan persekitaran kerana penulis sentiasa mengadaptasi persekitaran dalam bahan penulisan mereka.
Selain itu, percaya pada tuhan bahawa apa yang telah diberikan pada kita mempunyai hikmah dan tujuannya yang tersendiri. Kita perlu banyak berdoa jika terdapat kesulitan semasa mahu menghabiskan jalan penceritaan kita kerana mungkin jawapan yang seterusnya akan datang daripada-NYA. Saya pernah berkongsi dengan seseorang yang saya anggap seperti adik, saya bercerita pada dia bahawa kadang-kadang dalam solat saya akan mendapat idea seperti tuhan mahu saya menggarap cerita saperti yang di beri, tapi kata adik itu ilham. Apa pun saya sangat bersyukur kerana selama ini belum pernah lagi tiada idea untuk meneruskan penulisan. Alhamdullillah.

4) S: Adakah segala yang di tulis di dalam novel merupakan pengalaman sebenar anda semasa berkarya?
J: Pengalaman sendiri memang banyak membantu. Ia akan lebih memudahkan penulis menterjemahkan apa yang ingin disampaikan. Misalnya, jika watak ingin digambarkan mengalami putus cinta, jika penulis ada pengalaman mengenainya, ia akan mudah diekspresikan dalam bentuk penulisan. Pengalaman orang lain juga boleh dijadikan rujukan. Jika kita pernah mengalami sesuati peristiwa itu, lebih mudah untuk diklasifikasikan bagaimana perasaan yang mahu ditonjolkan kepada pembaca kerana daya imaginasi yang tinggi adalah diperlukan bagi membawa pembaca meneroka dunia alam maya ini.
Semasa menjalankan penulisan, ingat lah pada pengalaman hidup orang-orang di sekeliling kita agar boleh kita tambah dan adaptasi ke dalam penulisan kita agar lebih menarik dan bersifat kukuh di situ. Apabila di tanya jika saya pernah menerima mana-mana pengalaman atau cerita orang lain untuk dijadikan cerita dalam buku novel saya, jawapannya adalah tidak! Bentuk cerita yang sebenar jika didapati sama sebenarnya berbahaya dan perlulah diingati supaya berhati-hati jika ingin berbuat demikian kerana dikhuatiri akan terkena sebarang tindakan seperti akta hasutan atau yang seumpama dengannya.

5) S: Bagaimanakah anda memulakan langkah dalam proses untuk menerbitkan novel pertama anda?
J: Pada awal saya menjadi penulis, saya masih belum mempunyai ilmu yang banyak di dalam bidang penulisan dan saya bergantung kepada bakat semata-mata. Saya telah memulakan langkah sebagai seorang penulis dengan cerita-cerita bersiri di dalam majalah wanita. Saya menghantarnya setiap bulan siri demi siri. Seterusnya mengembangkan lagi sayap dengan menerbitkan novel pertama saya iaitu “masihkah ada kasih” dan telah memilih alaf 21 untuk menerbitkannya. Alhamdullillah alaf 21 menerima baik bakat yang saya miliki dan sehingga kini saya masih bernaung di bawahnya. Jika ada hasilan novel terbaru sudah pasti saya akan menghantarnya kepada alaf 21.

6) S: Siapakah merupakan pesaing yang paling terdekat dengan anda di dalam bidang penulisan novel ini?
J: Tiada. Bidang penulisan tidak sama seperi bidang lakonan atau nyanyian di mana tiap satunya mempunyai persaingan yang sengit untuk menambat hati peminat. Seorang novelis harus bergantung pada bakat dan gaya penulisan masing-masing untuk berdiri teguh di persada penulisan. Tiada sesiapa pun yang boleh meniru gaya penulisan penulis lain kerana ini bukan bidang nyanyian yang boleh ditiru-tiru. Setiap novelis mempunyai gaya menggarap penulisan tersendiri. Selain itu, saya anggap ini rezeki. Jika ada rezeki insyaallah kejayaan itu pasti dikecapi. Setakat ini, segala yang saya perolehi semuanya Rezeki yang Allah beri pada saya.

7) S: Di masa hadapan, gaya penulisan yang berunsur bagaimana ingin dicorakkan atau adakah anda tetap mahu mengekalkan corak penulisan seperti sekarang?
J: Sebuah novel tentu sahaja memerlukan sebuah cerita yang menarik, atau plot utama, plot sampingan, konflik utama dan juga konflik-konflik sampingan. Setiap plot dan konflik ini pula sudah semestinya ditimbulkan oleh watak-watak yang digarap dengan baik. Setiap watak mewakili satu plot dan setiap watak ada konflik dan plotnya yang tersendiri. Sering berlaku, penulis tidak mampu meneruskan bahan penulisannya apabila sampai ke separuh jalan.
Ini menunjukkan si penulis tidak membuat persediaan sebelum memulakan penulisan. Secara ringkasnya, apa yang boleh saya katakan adalah sebelum menulis pastikan anda sudah menyusun plot cerita dengan baik, mengenalpasti setiap watak yang hendak dituliskan dengan terperinci dan mempunyai akhiran cerita yang munasabah. Saya sentiasa menetapkan sebegitu di dalam bentuk penulisan saya agar dapat imbasan sebenar bagaimana hasil penceritaan saya kelak. Ini kerana di dalam penulisan novel, penulis harus mewujudkan watak-watak yang telah difikirkan sesuai agar mampu membawa pembaca ke alam cerita tersebut. Bagi konsep saya pula, unsur kekeluargaan dan kasih saying tetap saya masukkan di dalam setiap novel hasil nukilan dan olahan dari saya kerana dengan melalui novel saya dapat menyampaikan mesej atau nasihat kepada orang.
Misalnya, saya mahu memberitahu pentingnya institusi kekeluargaan yang baik bagi menjana sebuah perhubungan yang harmoni, justeru saya sampaikan mesej tersebut melalui cerita novel “tak seindah mimpi” supaya orang di luar sana sedar dan dapat merasai betapa pentingnya kasih sayang di dalam kekeluargaan untuk hidup bahagia.


8) S: Kini, selain dikenali menerusi penulisan novel, anda juga dikenali melalui penulisan skrip, rencana dan juga bahan-bahan berita. Dunia penulisan novel,skrip drama tv & Radio dan kewartawanan menjadikan anda terus kukuh dalam persada penulisan tanah air. Adakah anda masih mempunyai impian yang belum tertunai lagi?

J: Tiada apa lagi yang mahu saya kejarkan. Segalanya telah saya perolehi. Sudah semestinya di usia yang bakal menjelang 50 tahun pada tahun depan, saya mahu menjadi manusia yang lebih baik. Mendekatkan diri dengan tuhan. Jaga hati tuhan jika kita boleh katakannya sebegitu. Hari ini apa yang saya miliki semuanya datang dari Allah. Rezeki yang tak putus-putus ini sangat saya syukuri.
Selain itu, sebagai seorang ibu saya mahu melihat anak-anak Berjaya di dalam bidang masing-masing yang ingin diceburi dan mendirikan rumah tangga. Apabila anak-anak telah mempunyai kehidupan sendiri itulah yang diinginkan oleh setiap ibu di dunia ini.
Bicara mengenai kejayaan pula, saya rasa kerjaya saya ini sudah sampai ke kemuncaknya. Lebih-lebih lagi sekarang ini saya tidak lagi bekerja di karang kraf, saya lebih suka duduk di rumah dan focus kepada penulisan novel dan skrip drama sahaja.

9) S: Apakah pengalaman yang paling terindah pernah dimiliki sepanjang bergelar novelis?

J: Pengalaman terindah saya ialah apabila penjualan novel saya mencapai jualan tertinggi kemudian di buat lagi percetakkan novel yang sma buat kali ke dua kerana permintaan yang tinggi. Itu memang sesuatu yang menyeronokkan dan memuaskanlah. Selain itu, sudah tentulah setiap kali novel telah siap dan Berjaya di keluarkan.

10) S: Adakah ada di antara anak-anak anda yang bakal mengikuti jejak langkah anda sebagai seorang novelis?

J: Setakat ini, yang dilihat ada seorang anak perempuan saya Umi. Saya melihat dia ada bakat semasa melihat penulisannya tapi dia lebih cenderung kepada akademik. Dia sangat rajin belajar orangnya. Saya harapkan anak-anak saya semua Berjaya di dalam bidang yang ingin mereka ceburi.

11) S: Adakah anda bercita-cita untuk menyelitkan cerita bercirikan satu Malaysia di dalam penulisan anda untuk novel yang seterusnya kelak atau di dalam skrip untuk drama televisyen?

J: 1malaysia jika kita lihat ia nya adalah satu pembacaan umum. Dengan Tema 1Malaysia, banyak pertandingan telah di jalankan seperti bercerita, sajak, syair, pidato dan sebagainya. Di dalam novel saya juga, secara automatiknya telah mempunyai unsure-unsur penceritaan 1malaysia. Ada watak untuk pelbagai bangsa dan jalan penceritaan yang menampakkan perpaduan. Sebenarnya sudah lama unsure 1malaysia ini cuma sedar atau tidak sahaja. Di dalam drama juga sudah ada, kita masukkan secara tak langsung. Mengikut kepada kesedaran penonton atau pembaca sama ada sedar atau tidak dengan unsure 1malaysia itu.

12) S: Apakah antara anugerah terbaik yang pernah dinobatkan?

J: Di iktiraf lima penulis terbaik Malaysia dengan hasil jualan 447 013, di pilih oleh Majlis Buku Malaysia. Ketika ini, penulis-penulis yang di terpilih telah di temu bual contohnya dari segi berapakah jualan novel yang telah Berjaya terjual. Daripada sepuluh pencalonan lima telah dipilih. Selain itu juga saya pernah mendapat anugerah belia Negara.

13) S: Apakah harapan dan nasihat anda untuk mereka di luar sana terutamanya golongan muda mudi yang mahu bergelar seorang novelis terkemuka seperti anda?

J: Mulakan dengan menulis cerita pendek. Mahirkan diri dengan mencipta perwatakan, konflik, mengatur plot dan penggunaan bahasa yang menarik. Penulisan novel akan bermula daripada cerita pendek. Jika mahir membuat cerita pendek, secara automatiknya, anda boleh mengarang novel. Tetapi, mesti banyak idea dan rajin membaca. Tetapi, sebaiknya lebih baik mendalami bidang penulisan terlebih dahulu. Dengan adanya ilmu yang mencukupi di dada segalanya akan lebih mudah dan teratur.
Kerjaya ini sangat bersesuaian dengan mereka yang mempunyai kaitan dengan bidang kewartawanan kerana ia banyak bermain dengan penulisan dan memerlukan individu yang benar-benar mempunyai pengalaman untuk menulis. Sebelum saya menyambung pengajian di USM saya telah bekerja sebagai perancang Bandar. Oleh kerana minat yang mendalam di dalam bidang penulisan, semasa di USM saya telah menyambung pelajaran dalam pengajian kreatif. Kepada yang benar-benar berminat untuk bergelar seorang novelis, berusahalah dengan tekun untuk menghasilkan novel yang berkualiti dan diminati ramai.

Secara keseluruhan Sharifah Abu Salem telah mempamerkan satu karya yang mantap yang menyentuh nilai-nilai kemanusian dan kekeluargaan. Nyata pengalaman Sharifah Abu Salem sebagai penulis telah berjaya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dalam penulisan setiap novel beliau.

No comments:

Post a Comment