“Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, Malaysia tetap di hati” bersama slogan katanya iaitu Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Berdasarkan maksud kata, ia menunjukkan bahawa kerajaan sangat menitikberat dan mementingkan rakyat dari segala aspek disamping melalui cara ini, kerajaan akan mempunyai penyokong yang boleh memantap dan mengukuhkan kepercayaan dan stabilan Negara. Apabila kepentingan rakyat telah diambil kira, maka segala pencapaian yang dibawa bersama semangat kerjasama dan toleransi di antara perbezaan etnik yang wujud di nagara ini akan tercapai dan terlaksanalah misi Perdana Menteri bagi menjadikan Malaysia sebuah Negara berdaya saing dan tidak ketinggalan dari perspektif kemodenan pembangunan dan tidak tersisih sehingga boleh menjadi mangsa penindasan seperti yang telah dan sedang berlaku di sesetengah Negara luar. Realitinya, semenjak 1Malaysia diperkenalkan, dapat kita lihat banyak transformasi berlaku dari pelbagai sektor dan cabang. Bagi menjamin kemajuan globalisasi, kemakmuran, keharmonian, dan keselamatan seluruh etnik di Malaysia harus mempunyai sikap positif dan muhibah agar dapat menunaikan hasrat Perdana Menteri kita iaitu Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak untuk mewujudkan rakyat berdaya saing di dalam arus pemodenan ini dan ianya sejajar dengan peruntukkan yang telah termaktub dalam Prinsip-Prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.
Konsep 1Malaysia mempunyai tujuan dan alternatif bagi perkenalannya. Jika diteliti, konsep ini merupakan satu usaha murni oleh Perdana Menteri untuk mengeluarkan setiap individu yang berada di dalam kelompok etnik masing-masing bergerak menuju ke hadapan tanpa membataskan diri dengan hanya memikirkan kepentingan etnik masing-masing sahaja. Semua bangsa harus bertindak proaktif dan menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia bagi membendung pengaruh negatif daripada anasir luar untuk membinasakan Negara kita kerana apabila perpaduan dan semangat kenegaraan tercapai tanpa halangan dek kerana semangat kaum yang mementingkan kaum sendiri semata-mata justeru, ini boleh mengelak dari kejejasan kestabilan Negara. Kepimpinan Negara juga telah berjanji untuk melayani semua rakyat sama rata walaupun berbeza agama, bangsa, bahasa, dan kastanya.
Walaubagaimana pun, apakah sebenarnya transformasi yang telah dibawakan dan apakah kebaikannya terhadap rakyat dan juga Negara? Adakah terdapat rakyat yang bersetuju terhadap transformasi yang dilakukan atau sebaliknya? Pada pendapat saya, sememangnya Malaysia mempunyai dasar yang kuat untuk memegang Negara ini sebagai sebuah Negara demokrasi bersama tunggak perpaduan yang cuba diterapkan sentiasa di usaha tambah bagi menyemarakkan semangat kerjasama di antara kaum yang berbeza di Negara ini. Tetapi, mampukah konsep 1malaysia merubah dasar perkauman yang telah lama wujud di dalam kelompok-kelompok bangsa yang berbeza ini?
Antara transformasi yang telah dilakukan bagi mengaplikasikan konsep 1Malaysia disamping membuktikan keberkesanan konsep ini kepada masyarakat khususnya maka beberapa langkah dan juga program telah dilaksanakan bagi membuktikan kebaikannya kepada dunia keseluruhannya. Program “Komputer 1Malaysia dan Transformasi pos” merupakan di antara transformasi dengan kerjasama Menteri Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menunjukkan kepada kita betapa prihatinnya kerajaan terhadap usaha untuk membangunkan penduduk luar Bandar agar tidak ketinggalan jauh di dalam arus teknologi terkini dengan menyediakan komputer riba dan kemudahan WiFi di beberapa kampung di Pulau Banggi.
Atas dasar kesungguhan dan ambil berat terhadap penduduk berkenan maka program sebegini Berjaya di lancarkan dengan jayanya. Usaha murni untuk membantu menaik taraf kehidupan penduduk terutama di kalangan pelajar di kawasan berkenaan, adalah bagi memudahkan lagi interaksi dengan dunia luar menerusi internet. Usaha cemerlang juga turut ditunjukkan apabila terdapat perlantikkan wakil pos dan posmen komuniti bagi tujuan perkembangan perkhidmatan kearah yang lebih baik di masa hadapan. Menerusi rancangan ini, pulau yang sebelum ini tidak mempunyai perkhidmatan pos telah diubah lanskapnya kepada kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Rakyat telah diberikan sinar baru untuk bergantung harap demi mendapatkan gaya hidup yang lebih interaktif sebanding dengan penduduk Bandar. Perbezaan yang ketara dari segi cara hidup yang di perlihatkan oleh kedua-dua kelompok ini secara tidak langsung telah mengurangkan peratus kadar kemiskinan yang membabitkan penempatan tersebut. Selepas ini ibu bapa boleh bergembira dan bersenang hati dengan prestasi yang di tunjukkan oleh kerajaan bagi menjana model insan yang lebih baik di masa akan datang terutamanya buat golongan belia di Negara ini. Kemudahan yang disediakan ini, diharap tidak akan disia-siakan oleh golongan terbabit kerana ia merupakan suatu perkara yang baik bagi membuka peluang-peluang yang menjanjikan kehidupan yang lebih baik melalui satu langkah yang di mulakan oleh kerajaan ini. Semua kaum diberikan hak kemudahan yang sama tanpa ada sebarang kekangan. Uniknya 1Malaysia kerana penduduknya yang berbilang bangsa maka dengan berkongsi kemudahan teknologi dan maklumat yang telah diberikan maka seharusnya giliran mereka untuk menjalankan peranan sebagai rakyat bagi menyahut panggilan perpaduan, keharmonian, toleransi dan semangat kerjasama di antara satu kaum dengan kaum yang lain tanpa ada lagi kepentingan kaum masing-masing terhadap sesuatu perkara.
Bagi menguatkan lagi keberkesanan konsep 1Malaysia, dari sudut sektor lain dapat dilihat bahawa Bahagian Kastam juga turut mahu merealisasikan dasar 1Malaysia dengan berusaha kearah Kastam bertaraf dunia pada 2015 masa hadapan. Program tranformasi Kastam sebagai pemangkin untuk menjadikan perkhidmatan Kastam Malaysia bertaraf dunia pada tahun 2015 mengikut acuan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan adalah sangat membanggakan kita semua sebagai rakyat Malaysia ini kerana Inisiatif tersebut adalah untuk memastikan keberkesanan fungsi Kastam dalam soal memberi sumbangan penting kepada Negara disamping dapat meningkatkan imej yang telah sedia ada. Masyarakat mungkin hanya tahu bercakap dengan tidak puas hati terhadap cara kerja yang telah ditunjukkan oleh pihak Kastam secara bersungguh-sungguh tetapi tidak pula mahu membantu bagi mengatasi masalah penyeludupan dan seangkatan dengannya malahan lebih suka mengkritik lambat atau cepat prestasi kerja yang ditunjukkan. Sedangkan seperti yang telah kita ketahui, bukan mudah untuk menjalankan tugasan yang dijalankan. Tetapi perkhidmatan yang diberikan sentiasa tidak dapat memenuhi kepuasan hati sesetengah pihak maka di sini ingin saya mengambil peluang untuk mengatakan bahawa berkerjasama dan membantu menyelesaikan masalah jika terdapat sebarang maklumat mengenai kegiatan penyeludupan adalah lebih baik daripada berada di tepi sisi dan hanya melihat, mengkritik sepertinya kita hebat dalam segala hal.
Berbekalkan konsep 1Malaysia, program Kastam ini membantu dalam meningkatkan hasil pungutan Negara melalui inisiatif-inisiatif yang mana dapat memudahkan urusan pelabur yang memulakan perniagaan di Malaysia selain dapat mempercepatkan keputusan permohonan penjenisan dan ketetapan yang telah dibuat oleh Kastam. Urusan ini sebenarnya bagi mengelakkan pelabur berpindah dengan memilih negara lain yang lebih mudah untuk berurusan sebagai destinasi pelaburan baru. Jika hal ini terjadi, maka Malaysia akan mengalami kekurangan dan kehilangan hasil pungutan bagi sesuatu tempoh masa. Lihat, banyak kebaikan yang di tonjolkan menerusi konsep 1Malaysia bagi menjana perpaduan dari sudut yang lebih proaktif dan produktif bagi memastikan ekonomi tidak terjejas kerana masalah-masalah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar umumnya. Bahagian pengurusan tertentu seperti ini sangat penting bagi membantu kerajaan dan sekaligus terhadap ekonomi Negara.
Seterusnya kita lihat lagi perkembangan yang dibawakan menerusi konsep 1Malaysia ini dari sudut aktiviti keusahawanan dimana dengan menggunakan konsep 1Malaysia semua orang boleh berpusu-pusu memenuhi sebuah kafe yang terdapat di Johor Bahru yang berkonsepkan bufet 'Kampung 1Malaysia' bagi menarik perhatian masyarakat di luar sana untuk berbuka puasa di situ. Kelebihan kepada masyarakat ialah dapat makan apa jua jenis hidangan makanan sebanyak 100 hidangan termasuk pencuci mulut dengan harga serendah RM40 bagi dewasa, RM20 bagi 7-12 tahun dan RM10 bagi 4-6 tahun. Ini sesuatu yang menarik dan dinanti-nantikan oleh semua orang selain dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama manusia, program seperti ini juga mengalakkan kaum dari agama lain yang bukan Islam untuk turut serta bagi memeriahkan lagi sambutan bulan Ramadhan pada kali ini. Hidangan juga sentiasa di ubah bagi memenuhi cita rasa semua golongan. Pada pendapat saya, ternyata pemilik kafe ini masih prihatin terhadap permintaan penyediaan makanan bukan sahaja buat golongan melayu yang berpuasa tetapi juga buat golongan lain yang berbeza budaya dan agama. Tanpa memikirkan perbezaan di antara etnik, dengan kekuatan semangat 1Malaysia, apa jua yang dilakukan tidak dirasakan terbatas jika baik untuk semua pihak. Adalah lebih baik dapat berkongsi pengalaman, keseronokkan, kemeriahan, aneka makanan dan semangat kekitaan di antara satu kaum dengan kaum yang lain sebagai simbol rakyat yang duduk di bawah satu rumpun atau bumbung iaitu Malaysia tanpa sebarang pertelagahan demi mengejar sebuah keharmonian hidup. Sesuatu kebahagiaan itu seharusnya dirasai bersama tidak kira dalam apa jua bentuk sebagai contoh, suka dan duka ketika melayari bahtera hidup.
Dalam konteks bulan Ramadhan juga sebenarnya mampu menonjolkan konsep 1Malaysia secara langsung atau tidak langsung. Misalnya, bazar Ramadan mampu menjadi contoh yang baik bagi menonjolkan perpaduan masyarakat sesuai dengan konsep 1Malaysia, seperti kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin. Aktiviti seperti ini jika diperhatikan dapat menghimpunkan masyarakat menjual dan membeli pelbagai juadah berbuka puasa yang turut dinikmati oleh masyarakat bukan Islam termasuk pelancong luar. Bukankah ini sesuatu yang baik bagi memekarkan lagi perpaduan di kalangan masyarakat kita pada dewasa ini? Pelancong luar secara tidak sedar dapat memerhatikan sifat perpaduan dan kesatuan yang ditanamkan di dalam diri semua rakyat Malaysia. Biasa, apabila pujian selalu diberikan di atas keharmonian yang dipamerkan walaupun masing-masing berbeza etnik, budaya, agama dan bangsa tetapi boleh duduk di bawah satu bumbung dengan aman sentosa. Siapakah yang bangga? Sudah pasti rakyatnya iaitu penduduk Malaysia! Orang luar suka melihat cara hidup yang di tunjukkan dan memuji dasar kerajaan dengan konsep 1Malaysia telah berjaya menggamit hati mereka untuk sebegitu juga. Di bawah kepimpinan Negara, sejauh ini tiada lagi masalah yang serius membabitkan perkauman sehingga boleh menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan pihak yang lain. Pucuk pimpinan Berjaya mengawal segala emosi dan perasaan yang dimainkan oleh individu bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan yang boleh membawa kepada keruntuhan rukun Negara.
Sambungan lagi, pelajar Institusi Tinggi juga turut sama turun padang bagi membantu kerajaan bagi mempromosikan konsep 1Malaysia kepada orang asing bagi menyedarkan mereka bahawa konsep 1Malaysia ini wajar diguna pakai kerana Berjaya menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Kita boleh menjadi pusat kepada perpaduan dunia dan model untuk dicontohi kerana kebanyakan konflik di negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpunca daripada perbezaan etnik dan agama. Persidangan bertemakan Ke Arah Satu Hubungan Peradaban dengan semangat merapatkan jurang budaya untuk mencapai keamanan dan pembangunan yang dihadiri membincangkan isu rentas hubungan budaya, perpaduan, globalisasi dan perubahan sosioekonomi masyarakat dunia. Dengan cara ini, dunia luar bakal melihat satu senario baru di dalam sesebuah kepimpinan Negara yang bakal merubah perspepsi negatif terhadap pembaikan hubungan dengan bangsa berlainan kasta. Negara kita boleh tunjukkan kepada dunia luar bagaimana mahu mendapatkan keharmonian hidup yang menenangkan hidup semua pihak jauh dari sifat mazmumah. Berkumpul dan bergelak tawa di antara satu kaum dengan yang lain boleh membuatkan orang asing termanggu sebentar melihat perpaduan yang ditunjukkan. Berbanggalah dengan menjadi rakyat Malaysia kerana kita Berjaya membuang segala rasa perkauman yang tidak membawa kearah landasan berfaedah.
Pengalaman dan perasaan hidup dalam masyarakat yang bersatu padu boleh dikongsi dengan negara luar mengikut konteks serta keperluan negara mereka. Hanya tinggal lagi kaitkan dan tambahkan resipi perpaduan masyarakat Malaysia dengan masyarakat negara luar sebagai asas panduan untuk mewujudkan masyarakat harmoni dan hubungan baik antara etnik kerana uniknya Malaysia bersama pencapaian yang telah diperoleh.
Sehubungan dengan itu, bantuan yang telah dihulurkan oleh rakyat Malaysia yang berbilang bangsa akan menjadi satu contoh yang lebih baik lagi bagi membuka mata orang luar mengenai kepentingan perpaduan dan keharmonian dalam bertolerat sesama manusia. Sebagai contoh, bantuan keperluan bekalan harian serta pakaian raya Misi Kemanusiaan Ke Gaza yang dianjurkan oleh Kelab Putera 1Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia merupakan satu usaha yang terang-terangan menunjukkan semangat kerjasama telah menjalar tanpa mengira siapa dan di manakah mereka yang memerlukan bantuan tinggal. Atas dasar keprihatinan dan semangat ingin membantu ini, rakyat telah menghulurkan seberapa bantuan yang terdaya bagi mengurangkan beban penduduk luar Negara lain seperti Gaza. Siapa lagi yang harus menunjukkan contoh tauladan yang baik kalau bukan kita. Sementara masih wujud lagi rasa perikemanusiaan di dalam hati maka bantulah sehabis daya sementara masih berpeluang dari hanya berpeluk tubuh sahaja tanpa meninggalkan sebarang kesan yang baik.
Perkembangan lain dan terkini mampu diperlihatkan melalui konsep 1Malaysia adalah kewujudan “Kojiwa” yang sebenarnya telah memberi nafas baru kepada perkembangan koperasi di negara ini yang dilihat masih ketinggalan berbanding koperasi di luar negara. Dengan mengubah lanskap koperasi menjadikannya koperasi transformasi pertama di negara ini bercirikan Kekuatan daya saing, daya juang, kepakaran, tadbir urus yang mantap serta rangkaian sumber dan pemasaran yang dimiliki oleh syarikat yang diserapkan ke dalam koperasi ini agar mampu berdiri setaraf dengan koperasi luar Negara. Satu usaha saing dalam memajukan koperasi Negara yang dianggap agak ketinggalan disitu tetapi berjaya dinaik taraf kembali fungsi dan peranan sebenar bahagian koperasi tersebut.
Tetapi, sehebat mana pun konsep 1Malaysia ini, ia tetap dianggap masih belum boleh berjaya sepenuhnya hanya kerana beberapa transformasi yang mampu mengangkat nama Malaysia ke seantaro dunia dan usaha pembaik pulihan yang dilakukan jika dari segi “Bahasa” masih belum boleh dimeterai fungsi sebenar untuk memartabatkan bahasa utama iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dalam Negara. Memartabatkan bahasa Melayu merupakan satu agenda utama yang harus diberikan perhatian terlebih dahulu, tetapi bagaimanakah ia mahu berlaku jika kerajaan sendiri masih mahu mengangkat kepentingan menguasai bahasa asing seperti Inggeris hanya kerana penggunaannya yang semakin meluas di seluruh dunia. Mengapa tidak kita menjadikan bahasa sendiri sepenting seperti bahasa Inggeris dan mempengaruhi masyarakat luar untuk menguasai bahasa ibunda kita. Jika usaha untuk menonjolkan konsep 1Malaysia dilihat berkorbar-kobar mahu atau sedang dilaksanakan bagaimana pula dengan kedudukan bahasa Melayu? Melihat kepada sistem pendidikan, juga telah diubah agar matapelajaran Sains dan Matematik di ajar dalam Bahasa Inggeris. Bayangkan, anak-anak di sekolah juga telah diajar untuk menguasai bahasa asing lebih dari bahasa sendiri yang jikalau disuruh buat karangan Bahasa Malaysia masih terkontang-kanting. Bagaimana kerajaan mahu membuktikan bahawa bahasa ibunda kita masih penting jika mereka sendiri yang jikalau memberikan ucapan di dalam sesuatu majlis turut sama menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium perantaraan dalam komunikasi dua hala. Sedarkah kita siapa sebenarnya yang mendominasi siapa? Adalah lebih baik kita memperbetulkan isu “Bahasa” ini terlebih dahulu sebelum terlalu asyik mahu mengejar perkara lain yang secara tidak sedar boleh meruntuhkan juga institusi “Bahasa” secara perlahan-lahan jika tidak dipandang serius.
Sebelum saya menutup ruangan ini, ingin saya berikan beberapa cadangan supaya Malaysia dapat meningkatkan kualitinya dari segi pemodenan teknologi seperti Negara Jepun. Malaysia banyak mengimport barangan buatan Jepun bila mahukan perkhidmatan seperti enjin automobil dan kemudahan teknologi maklumat atau penggunaan mesin yang banyak membantu memudahkan urusan pekerjaan kita sehari-harian. Tetapi kita tidak pernah mampu untuk bersaing dengan mereka bagi mendapatkan input yang sama. Kerajaan harus membuat satu strategi baru agar kita tidak perlu lagi bergantung harap pada Negara lain untuk mendapatkan kemudahan tersebut buat Negara sendiri. Gunalah konsep “tiru seperti Jepun” iaitu semangat saing dan ingin maju yang tinggi menjadikan mereka Negara yang serba boleh dari pelbagai sudut.
Mereka juga tidak pernah mahu menggunakan bahasa Negara lain seperti Bahasa Internasional iaitu Inggeris tetapi tetap mampu berdiri maju searas dengan Negara maju lain seperti U.S. Kita harus mengubah dasar pandang ke timur dengan memahami konsep mereka dengan lebih baik. Apa salahnya jika perkara yang baik mahu dikongsi bersama. Kita juga turut boleh berkongsi pengalaman hidup dengan konsep 1Malaysia.
Kesimpulannya, itulah Malaysia yang kaya dengan adat dan budaya yang berbeza kerana di huni oleh golongan etnik yang berbeza termasuk Sabah dan Sarawak. Masyarakat luar mungkin beranggapan sukar untuk hidup bersama dengan budaya dan perbezaan kulit yang ketara, di mana masing-masing pasti berusaha untuk mementingkan kaum sendiri. Air yang tenang jangan di sangka tiada buaya. Sungguh pun, Malaysia dilihat harmoni, kita pernah melalui detik-detik yang menyulitkan apabila berbicara mengenai sensitiviti perkauman. Semua pihak berusaha sebaik mungkin untuk memastikan tiada persengketaan atau ketidakpuasan hati yang berlaku dikalangan rakyat untuk memeterai konsep 1Malaysia kearah Negara berdemokrasi yang membawa kepada ketinggian semangat perpaduan dan kestabilan politik serta keharmonian hidup.
Ini adalah essei yang saya hantarkan pada pertandingan menulis essei 1 malaysia..juara dapat rm2000!huhu..doakan saya berjaya k!
terima kasih. karangan yang menarik.
ReplyDelete